PUTRAJAYA 25 Sept. – Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang
dilaksanakan tahun ini menerima maklum balas positif daripada para guru
dan ibu bapa, yang antara lain menyatakan ia berjaya meningkatkan minat
para pelajar untuk belajar bahasa Inggeris.
Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Dasar) Prof Dr Khair Mohamad Yusof
berkata ini kerana pendekatan KSSR tidak lagi berbentuk kaedah tradisi
pengajaran di bilik darjah (chalk and talk) tetapi menumpukan kepada
kaedah pengajaran yang menyeronokkan dalam pembelajaran bahasa Inggeris.
“KSSR ini bukan sahaja menekankan kepada kefasihan bahasa tetapi juga
komunikasi antara pelajar. Ia menggunakan kaedah-kaedah lain seperti
permainan dan muzik,” katanya kepada pemberita selepas menerima
kunjungan lawatan 35 guru dari Selangor yang menyertai konvoi
bermotosikal 1Malaysia dari Shah Alam ke kementerian di sini.
Konvoi itu singgah di beberapa tempat sepanjang perjalanan mereka
untuk menyerahkan bendera Jalur Gemilang dan risalah 1Malaysia kepada
orang ramai.
Mengulas kenyataan Presiden Persatuan Pengajaran Bahasa Inggeris
Malaysia (Melta) Prof Madya Dr S. Ganakumaran, yang dilaporkan sebagai
berkata bahawa kurikulum pengajaran bahasa Inggeris di sekolah
ketinggalan zaman, Khair berkata kurikulum yang diperkatakan persatuan
berkenaan mungkin kurikulum lama.
“Kami telah memperkenalkan kurikulum baru dan setakat yang saya tahu
dan saya juga telah ke sekolah-sekolah dan para guru gembira dengan
kurikulum baru dan kaedah baru yang diperkenalkan,” katanya. – Bernama
Sumber: http://beritaharian.org
Dapatkan Bahan-bahan KSSR disini.