Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
pengarang@utusan.com.my
Rombongan kakitangan Kementerian
Pelajaran dan wartawan terpaksa menaiki rakit buluh bertali semasa
mengharungi sungai berarus deras untuk ke SK Buayan dan SK Terian di
pedalaman Penampang, baru-baru ini. – UTUSAN/Ghazali Basri
DAERAH Penampang terletak bersebelahan dengan
bandar raya Kota Kinabalu. Namun, siapa sangka daerah itu masih
mempunyai sekolah pedalaman yang begitu terpencil iaitu Sekolah
Kebangsaan (SK) Buayan dan SK Terian.
Untuk ke sekolah-sekolah tersebut cuma terdapat dua pilihan sahaja
iaitu melalui jalan balak dan berjalan kaki yang mengambil masa sehingga
enam jam.
SK Buayan dan SK Terian yang terletak di Banjaran Crocker,
masing-masing hanya mempunyai 43 dan 33 orang murid sahaja.
Bagaimanapun, dasar pendidikan negara adalah amat jelas iaitu tanpa
sebarang kompromi, akan tetap memastikan semua lapisan rakyat meskipun
jauh di pedalaman diberikan pendidikan terbaik.
Baru-baru ini, petugas media Sabah berpeluang bersama-sama dengan
Timbalan Menteri Pelajaran, DR. MOHD. PUAD ZARKASHI berpeluang melalui
pengalaman perit menggunakan dua jalan itu untuk ke sekolah berkenaan.
PENAMPANG 25 Okt. – Pertama kali mendengar mengenai lawatan Timbalan
Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi ke dua buah sekolah di
Penampang, penulis merasakan ia pasti biasa dan kurang mencabar.
Ini kerana pada firasat penulis, sekolah yang akan dilawat tidaklah
terlalu jauh dan mencabar kerana terletak di Daerah Penampang,
bersebelahan dengan Kota Kinabalu.
Namun segala-galanya berubah apabila kami memulakan perjalanan pada
pukul 1 petang, menaiki kenderaan pacuan empat roda penduduk Kampung
Sugud yang bermula dengan merentas sungai dan melalui jalan balak.
Malah tidak sampai 10 minit perjalanan, dua daripada lima pacuan empat roda yang disewa berkenaan mengalami kerosakan.
Kerosakan awal yang tidak dijangka itu menyebabkan kira-kira 30
peserta lawatan terpaksa berhimpit-himpit termasuk duduk mencangkung di
belakang pacuan empat roda lain bersama beg dan barangan keperluan.
Keadaan ini membuatkan para petugas media berasa agak gusar kerana
terpaksa melalui jalan berbukit, licin dan berisiko, menaiki kenderaan
yang terlebih muatan pula.
Degupan jantung semakin kencang apabila seorang pegawai kementerian
memaklumkan bahawa tiada kenderaan sokongan kerana hanya pacuan empat
roda penduduk kampung sahaja yang ‘berani’ melalui jalan balak
berkenaan.
Sepanjang melalui jalan balak menerusi cerun bukit selama dua jam
itu, ia amat mencabar seumpama ‘perjalanan maut’ yang boleh mengundang
risiko hanya pada bila-bila masa.
Kegagalan kereta pacuan empat roda dinaiki penulis mendaki bukit dan
hampir-hampir terbalik sebelum terbabas ke tebing, tambah merunsingkan
kami.
Pada masa itu, hanya kepada tuhan kami bertawakal dan berdoa agar
tiada sebarang kesilapan pemanduan yang boleh mengundang tragedi yang
tidak diingini.
Namun, perjalanan dua jam yang membuatkan semua anggota badan peserta
mula terasa sakit berakhir pada kira-kira pukul 3.30 petang apabila
kami tiba di tebing sebatang sungai yang berarus deras.
Bagaimanapun, perjalanan kami masih belum sampai ke destinasinya. Sebaliknya ia merupakan permulaan ujian berjalan kaki pula.
Semua peserta terpaksa berjalan kaki melalui denai di tebing bukit,
mendaki dan menuruni bukit selain melintasi beberapa batang sungai
dengan rakit dan juga melalui jambatan gantung uzur.
Berjalan kaki pada masa itu membuatkan semua peserta terpisah kepada beberapa kumpulan berdasarkan kepada stamina masing-masing.
Pada masa itu, kumpulan Mohd. Puad mendahului peserta lain manakala
kumpulan penulis yang disertai oleh jurugambar Berita Harian, jurugambar
Jabatan Penerangan, wartawan New Straits Times dan beberapa wakil
kementerian berada di belakang sekali kerana ‘tidak cukup stamina’.
Semasa perjalanan, penulis menyedari laluan kami pada masa itu amat
berbahaya kerana melalui cerun bukit yang licin - sedikit sahaja
kesilapan boleh menyebabkan terjatuh ke bawah yang pastinya boleh
menukar perjalanan kepada tragedi.
Sepanjang perjalanan menyaksikan ada antara kami yang tergelincir,
malah seorang peserta kehilangan tapak kasut dan terpaksa berjalan tanpa
tapak kasut.
Perjalanan kali ini juga begitu meletihkan sehingga menyebabkan ada di antara kami yang mengalami kekejangan.
Namun, setelah tiga jam berjalan kaki termasuk dalam kegelapan hutan,
rombongan akhirnya sampai ke destinasi iaitu SK Buayan pada pukul 7.30
malam.
Selain gembira dengan kejayaan itu, fikiran penulis pada masa itu
terbayangkan bagaimana kesusahan dialami guru-guru yang juga terpaksa
melalui laluan sama. Selain itu mereka juga berisiko bertembung dengan
haiwan liar dan berbisa.
Dalam satu majlis yang diadakan di sekolah itu pada sebelah malamnya,
Mohd. Puad berkata, biarpun terpaksa melalui laluan berbahaya dan
meletihkan, ia sebenarnya menjadi pembakar semangat kepadanya untuk
terus melawat kawasan pedalaman.
Katanya, dengan cara itulah beliau akan dapat menghayati dan melihat
sendiri keadaan sekolah di kawasan pedalaman seterusnya berusaha
memajukan tahap pendidikan di kawasan terbabit.
“Jadi apabila mengetahui pelajar yang duduk jauh di sini terpaksa
ambil periksa di SK Tampasak Tegudon, timbul tanggungjawab bagi saya
untuk membela anak-anak tuan-puan.
“Malah di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
kerajaan sentiasa memberi perhatian besar kepada pendidikan khususnya di
kawasan luar bandar,” katanya.
Tegas Mohd. Puad, perjalanan yang mencabar dan berisiko itu tidak
pernah mematahkan semangat warga kementerian untuk terus melakukan
lawatan bagi meningkatkan prasarana luar bandar.
Katanya, pada masa akan datang, pihaknya merancang melawat lebih banyak sekolah pedalaman di seluruh negeri.
Penafian:
Artikel/Info ini disalin dari laman web http://www.utusan.com.my. Pihak SK Pangas Keningau tidak bertanggungjawab terhadap isi kandungannya.